SK PARIT MAHANG
- Disiplin, Ilmu, Jaya



Sejarah Sekolah
Kesedaran masyarakat setempat terhadap perlunya sebuah sekolah di Kampung Parit Mahang ini bermula pada awal tahun 1980 apabila Tuan Haji Hasan Bin Abd Rauf, PJK memegang jawatan Ketua Kampung. Ketika ini anak-anak penduduk kampung terpaksa berulang–alik sejauh 4 hingga 14 kilometer sehari ke Sekolah Kebangsaan Dato’ Maharaja Lela di Kampung Bukit Cerakah.
Perjuangan masyarakat setempat membuahkan hasil apabila mendapat sokongan Yang Berhormat Dato’ Haji Miskon Bin Sutero, SSA, AMN, JP, Adun Kawasan Jeram telah berjaya mendapatkan kelulusan pembinaan sebuah sekolah baru. Pada September 1984 di atas tapak seluas lebih kurang 2 ekar mulai dibina. Kerja–kerja pembinaan bangunan sekolah pasang siap telah selesai pada November 1984. Pada tanggal 3 Januari 1985 SK Parit Mahang memulakan sesi persekolahannya dengan jumlah murid seramai 209 orang yang terdiri daripada anak-anak penduduk Kampung Parit Mahang dan Kampung Bukit Hijau. Encik Nordin Bin Siran sebagai Guru Besar pertama, dibantu oleh 5 orang guru penolong dan seorang pekerja. Pada bulan berikutnya iaitu bulan Februari SK Parit Mahang menerima 2 orang guru lagi dan seorang pekerja.
Pada 4 Disember 1984, YAB Perdana Menteri Malaysia telah merasmikan Projek Pusat Desa dan Pertanian Berkelompok, Mini Estet di tapak perhimpunan sekolah ini.
Semenjak dari tarikh tersebut, SK Parit Mahang terus melakar sejarah dan kini telah menjangkau usia 20 tahun.